Oleh:
Tarikh: November 6, 2012

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menghentikan projek atau kerja pembinaan 69 unit banglo di lereng Bukit Gasing dekat Kampung Pantai Dalam di sini, jika pemaju gagal mematuhi prosedur yang dikeluarkan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib berkata pihaknya memantau perkara itu kerana setakat ini, terdapat beberapa aduan daripada penduduk yang mendakwa terdapat runtuhan tanah berlaku di kawasan tersebut selain pencemaran udara akibat kerja mengangkut tanah.

“Akan berlaku masalah kalau minta mereka menangguhkan projek ini. Apa yang kita nak sekarang ialah minta mereka lakukan kerja ini lebih serius, dalam masa yang sama, kita pantau setiap kerja mereka di lereng bukit itu,” katanya kepada pemberita semasa melawat tapak projek itu hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam di mana penduduk mendakwa berlaku runtuhan tanah di lereng bukit awal pagi kelmarin ekoran hujan lebat.

Mereka juga mendakwa jika projek oleh Gasing Meridien Sdn Bhd itu diteruskan, tragedi tanah runtuh seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa pada 2008 bakal berulang.

Ahmad Phesal berkata bagi menyelesaikan isu itu, pemaju dan penduduk perlu bekerjasama dan berhubung rapat bagi mengelak sebarang spekulasi berkaitan projek pembinaan tersebut.

“Kami (DBKL) pun tak akan berharap dengan pemaju sahaja dalam menentukan mereka ikut prosedur pembinaan ini, tapi kita juga harap respon pihak awam, kalau ada tak puas hati, datang pada kita.

“Bila ada bukti kukuh yang menyatakan projek ini boleh menjejaskan penduduk, kita tak akan teragak-agak menghentikannya,” katanya.

Sementara itu, pengarah projek Ken Tan berkata kawasan lereng bukit Gasing di tempat projek tersebut diratakan untuk menanam semula rumput bagi tujuan pemuliharaan lereng melalui kaedah ‘grass-seeding’.

Beliau berkata mungkin penduduk melihat ada penurunan tanah di kawasan lereng itu dan menganggap wujudnya pergerakan tanah tetapi ia hanyalah sebahagian proses tanam semula rumput oleh pemaju.- Bernama

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/projek-banglo-di-bukit-gasing-dihentikan-jika-pemaju-gagal-patuhi-prosedur-ikram-1.101501

Advertisements