Belum lulus
Oleh Noor Jaafar dan Siti Nurazlinee Azmi
Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kebimbangan penduduk di sekitar Bukit Gasing mengenai cadangan pemilik tanah, Gasing Meridian Sdn Bhd membina 142 unit banglo di kawasan berkenaan terjawab apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan, mengumumkan projek itu setakat ini belum diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ruslin berkata, sebelum meluluskan projek pembangunan di kawasan seluas 15.2 hektar di Bukit Gasing, DBKL perlu mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk Jawatankuasa Teknikal Perancangan dan Jawatankuasa Kawasan Sensitif Alam Sekitar Wilayah Persekutuan (JPPKSAS) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan.

Katanya, jawatankuasa itu membabitkan Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Kerja Awam, Jabatan Pelan Induk dan Unit Perlindungan Alam Sekitar serta Jabatan Kesihatan DBKL, Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan (WP), Jabatan Mineral dan Geosains Selangor dan WP, Jabatan Pengairan dan Saliran WP, Jabatan Tanah dan Galian, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Kerja Raya, Kumpulan Ikram, Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara (NASEC) dan Tenaga Nasional Berhad.

Beliau berkata, permohonan Gasing Meridian itu dikaji dengan teliti oleh DBKL berdasar aspek perancangan, kejuruteraan, keselamatan, pencemaran, saliran dan banjir serta kesejahteraan penduduk di kawasan berdekatan.

“Maklumat teknikal dalam proses dihantar dan dijangka semua maklumat dikumpulkan sebelum JPPKSAS membuat keputusan untuk dipertimbangkan DBKL. Keputusan permohonan itu hanya akan diketahui apabila semua maklumat teknikal mendapat pertimbangan JPPKSAS,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, projek di utara Taman Gasing Indah dalam kawasan Kuala Lumpur yang bersempadan dengan Petaling Jaya itu kini hanya di peringkat kerja ujian tanah di kawasan kecil yang tidak memerlukan kebenaran DBKL.

“Tapak yang dirujuk itu diluluskan pelan susun aturnya oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor pada awal 1970-an untuk membina 71 lot banglo dan surat hak milik tanah berasingan juga dikeluarkan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan pada 1977.

“Pada 1996 pemilik tanah berkenaan mengemukakan permohonan untuk mendapat kebenaran kerja tanah dan membina jalan raya bagi membina rumah mengikut geran hak milik tanah yang dikeluarkan itu,” katanya.

Advertisements